ARAU: Sebanyak 400 hingga 600 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program peluang kerjaya dan temu duga terbuka anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui anak syarikatnya Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd..
Program dan temu duga tersebut akan diadakan pada 15 hingga 16 Januari ini di Dewan Besar, Jabatan Belia dan Sukan, Kangar bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, program tersebut bertujuan membantu golongan asnaf di negeri ini yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pekerjaan.
“Seramai mana asnaf dan pelajar tingkatan lima di sekolah-sekolah seluruh negeri ini dijemput hadir ke program berkenaan.
“Pada 15 Januari slot membabitkan peluang pekerjaan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) (pukul 9 pagi), Kulim Hi Tech Park (10 pagi), KISMEC Sungai Petani (11 pagi), bebas (12 tengahari hingga 3 petang), The Otomotif College (TOC) Kuala Lumpur (3 petang), McDonalds Malaysia (4 petang) dan Restoran Mohd Chan Group Berhad (5 hingga 6 petang).
“Pada 16 Januari pula membabitkan The Welding Institute (TWI), Shah Alam (9 pagi), Malaysian Professional Accountancy Centre (MyPAC) (10 pagi), KOBE Precision Technology Sdn Bhd (11 pagi), bebas (12 tengahari hingga 3 petang), Mokti’s (3 petang), Amber Chinese Muslim Restaurant (4 petang) dan Wahyuni SPA, Kangar (5 hingga 6 petang),” katanya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs menyempurnakan majlis pelancaran promosi program itu di Chortiez & Co cawangan Arau di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Nazim memberitahu, sebarang maklumat tambahan atau permasalahan boleh menghubungi Eksekutif ATAM, Nur Farhana Junaidi di talian 017-4036900 atau 012-5834439. – UTUSAN