ALOR SETAR : Sebanyak 59 bekas penghuni setinggan di Kampung Kilat dan Kampung Telok dekat sini, menagih janji daripada kerajaan serta pemaju Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Setar untuk mereka memiliki unit kediaman di situ.
Rata-rata penduduk ditemui memberitahu, mereka sudah terlalu ‘penat’ menunggu setelah tempoh asal yang dijanjikan iaitu cuma tiga tahun, kini sudah berlarutan hingga masuk ke tahun ke lapan.
Menurut seorang daripada penduduk di situ, Zaleha Mohamed Mydin, 47, semua penghuni setinggan terlibat mula meninggalkan rumah masing-masing sejak 2014 bagi memberi laluan kepada pembinaan PPR tersebut yang dijangka mengambil masa tiga tahun.
“Daripada lebih 80 penduduk terlibat, ada yang memilih untuk menerima wang berjumlah RM35,000 manakala yang selebihnya termasuk saya memilih untuk mendapatkan rumah PPR ini. Malangnya kini selepas lapan tahun, rumah dijanjikan masih belum diterima walaupun PPR tersebut sudah disiapkan sepenuhnya pada 2019.
“Lebih menyedihkan, ketika ini rumah PPR tersebut dilihat sudah didiami oleh keluarga yang bukan pun penduduk asal di kedua-dua kampung ini. Kami tertanya-tanya mengapa orang luar pula yang dibenarkan memasuki unit PPR itu dulu sedangkan kami yang merupakan penduduk asal dan memiliki dokumen perjanjian bersama pemaju seolah-olah diketepikan,” katanya.
Zaleha berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berhimpun bersama lebih 50 waris serta penduduk asal Kampung Telok dan Kampung Kilat di depan PPR Kota Setar bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung perkara tersebut di sini semalam.
Walaupun telah mempunyai perjanjian dengan pemaju, penduduk di situ juga mendakwa turut telah mengisi satu lagi untuk memohon PPR tersebut daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2020 namun masih belum ada sebarang jawapan mengenainya hingga kini.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Noor Johari, 40, berkata, dia cukup sedih apabila mengenangkan isu berkenaan memandangkan bapa dan ibunya tidak sempat untuk merasai kehidupan yang selesa di rumah baharu diidamkannya itu.
“Arwah bapa meninggal dunia lima tahun lalu dan sebelum pemergiannya, dia memang berharap sangat untuk memiliki rumah ini. Kami bukan orang kaya memandangkan saya hanya bekerja di pasar dan disebabkan itu, bapa berkali-kali cakap hendak tinggalkan rumah ini kepada kami,” katanya.
“Selepas bapa, emak juga akhirnya meninggal dunia tahun lalu dan tidak sempat tinggal di rumah baru ini. Kami rasa terniaya apatah lagi setelah terdapat cakap-cakap mengatakan rumah ini tidak akan diberi kepada pemohon yang sudah meninggal dunia termasuk kepada waris mereka,” katanya.
Sebelum ini isu tersebut pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai dalam Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat pada 2 November lalu.
Sementara itu, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib ketika menjawab perkara dibangkitkan itu memaklumkan, sehingga Oktober 2021 sebanyak 272 daripada 500 unit rumah di situ telah ditawarkan kepada peserta PPR yang layak manakala 228 unit lagi masih dalam pelbagai proses semakan dan penawaran.- UTUSAN ONLINE