55 pelajar tahfiz terpaksa pindah, tanah dituntut pemilik - Utusan Malaysia

55 pelajar tahfiz terpaksa pindah, tanah dituntut pemilik

SEBAHAGIAN pelajar pondok Syahadah Lubuk Kuin di Bachok yang diarahkan berpindah sebelum 12 Mac depan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seramai 55 pelajar Pondok Darul Syahadah Kampung Lubuk Kuin, Gunong, di sini terpaksa berpindah atau menumpang premis lain sebelum Mac depan kerana bangunan dan tapak pondok tersebut perlu dikosongkan atas permintaan pemilik asal.

Difahamkan, pemilik menghantar notis penamatan memorandum persefahaman (Mou) bertarikh 12 Januari lalu kepada pengurusan Darul Syahadah, sekali gus menarik balik kebenaran menggunakan hartanya yang dimeterai pada 27 Julai 2016.

Mengikut notis itu, tempoh masa diberikan untuk berpindah berakhir pada 12 Mac 2022. Dalam konteks MoU tersebut, pihak pengurusan dibenarkan membangunkan pondok tanpa diwakafkan dan penamatannya berakhir atas pilihan pemilik.

Wakil pengurusan Pondok Darul Syahadah, Zainul Anuar Abdullah berkata, notis berkenaan ditandatangani pemilik tanah bersama anak beliau.

Tambahnya, pemilik tanah dan bangunan itu menuntut bayaran sebanyak RM600,000 sekiranya warga pondok enggan berpindah.

“Antara langkah awal ialah memindahkan 20 pelajar perempuan ke sebuah rumah kosong di Negeri Sembilan bermula semalam manakala 35 pelajar lelaki pula bakal dipindahkan ke sebuah madrasah kosong di Bera, Pahang dalam masa terdekat.

“Ini adalah proses penempatan sementara sebelum kami mencari tempat yang kekal. Pelajar pondok ini datang dari seluruh negara dengan 20 peratus daripada mereka adalah anak Kelantan.

“Kami mahu mengelak pembelajaran mereka terbantut. Kami bernasib baik kerana ada pihak menawarkan premis kosong untuk diduduki sementara waktu,” katanya dalam sidang akhbar di Pondok Darul Syahadah, di sini hari ini.

Zainul Anuar mendakwa, pemilik tersebut pernah bersumpah dengan al-Quran mahu mewakafkan hartanya, dan sehubungan itu, pihak Pondok Darul Syahadah membelanjakan sebanyak RM409,000 untuk membaik pulih bangunan serta menambah baik infrastruktur.

“Sekarang perkara sebaliknya, malah kami turut diadukan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) kononnya pondok kami terlibat dengan perkara yang melanggar ajaran Islam tanpa menyatakan apa pelanggaran yang dimaksudkan.

“Kami kini tidak mempunyai tempat lain lagi, malah pelajar kami di sebuah madrasah yang lain di Tanah Merah juga telah dihalau. Berhubung isu melanggar ajaran Islam, saya telah membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Bachok (IPD) semalam,” jelasnya.

Sementara itu, pemilik premis dan tanah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar notis pengosongan itu namun, dakwaan beliau sudah bersumpah dengan al-Quran untuk mewakafkan tanah adalah tidak benar.

“Sudah tiba masa pengurusan Pondok Syahadah mencari tempat lain dan saya akui menuntut bayaran kalau mahu terus tinggal di situ tanpa niat buruk kerana anak saya selaku pemilik baharu ada perancangan lain di situ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya