KUALA SELANGOR: Cubaan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini pada awal pagi gagal selepas dicekup pihak berkuasa di pesisir Pantai Bagan Pasir di sini, hari ini.
Penahanan itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang mengesan semua warga asing berkenaan, kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, perbuatan itu dihidu ketika pihaknya menjalankan rutin rondaan dan pemantauan di sekitar perairan tersebut.
Katanya, warga asing itu dipercayai masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.
“Mereka yang terdiri daripada 40 lelaki dan 10 wanita itu dipercayai baru tiba di negara. Siasatan mendapati semua individu berusia 16 hingga 51 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Rizal, semua pendatang asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Kesemua tangkapan itu turut akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan pandemik dalam kalangan pesalah dan petugas polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE