5 faktor wujudnya 107 kluster pendidikan - Utusan Malaysia

5 faktor wujudnya 107 kluster pendidikan

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan yang melibatkan 4,633 kes sejak bermula sesi persekolahan sehingga semalam. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan hasil siasatan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan,  kejadian itu berpunca atas lima faktor.

Faktor itu, katanya, adalah ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutama apabila berada di asrama dan individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas.

“Tiga lagi, murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala serta sistem pengudaraan kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, melihat kepada peningkatan kes dan kluster sektor pendidikan, satu mesyuarat khas KKM bersama dengan KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diadakan pada Sabtu lalu. 

Noor Hisham berkata, antara 10 cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan adalah pihak sekolah perlu mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM.

Ini termasuk, katanya, melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti Covid-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat.

Katanya, pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema serta pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes Covid-19 dan kontak rapat.

 Jelasnya, individu yang layak untuk menerima vaksin Covid-19 dan dos penggalak adalah digalakkan berbuat demikian.

“Selain itu, ibu bapa juga diingatkan memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah; semua warga pendidikan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan KKM sepanjang masa manakala pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh.  Dua terakhir adalah memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang-ruang tertutup dalam keadaan yang baik bagi mengurangkan risiko jangkitan dan keputusan ujian kendiri dilaksanakan murid dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga di rumah perlu dilaporkan kepada pihak sekolah,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan KPM menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3 peratus) diikuti  kategori pendidikan lain (24.3 peratus), kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus).

“Jika dibahagikan daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula menerima dos penggalak. Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7 peratus iaitu 4,621 kes manakala hanya 0.2 peratus iaitu 12 kes lagi adalah terdiri daripada kategori tiga dan empat. Kesemua 12 kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya