JOHOR BAHRU: Beberapa jemaah Masjid Taman Sri Pulai Perdana, dekat sini yang didapati positif dikenal pasti menjadi pencetus kluster Pulai Perdana Tiga hasil saringan bersasar yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, saringan dilakukan ekoran terdapat jemaah masjid yang positif selepas melakukan saringan kendiri.
“Sehingga semalam, terdapat 47 kes positif dikesan dalam kalangan jemaah dan penduduk dengan 164 kontak sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan kelmarin. Semua kes positif telah diisolasi dan kontak-kontak rapat kes yang dikenal pasti juga sudah menjalani pengasingan di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular mesej berangkai di aplikasi Whatsapp mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Taman Sri Pulai Perdana bermula hari ini sehingga 20 Januari kerana terdapat penularan wabak Covid-19.
Namun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan kenyataan menafikan mesej berkenaan dan menjelaskan hanya tindakan kawalan dalaman dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Daerah Johor Bahru di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, fasiliti umum yang berpotensi untuk menjadi tempat penyebaran di dalam kawasan tersebut juga telah dikenal pasti dan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan dan pengesanan kes secara berterusan.
Katanya, JKNJ mengingatkan penduduk yang terlibat agar mematuhi perintah kuarantin bagi mengelak tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Pengawalan Penyakit 1988 dengan kompaun tidak melebihi RM1,000.
“Selain itu, penduduk perlu tampil menjalani saringan Covid-19 jika berlaku gejala, mempunyai kontak atau hadir ke masjid berkenaan pada 26 Disember 2021 sehingga 4 Januari. Penduduk diingatkan tidak menyembunyikan maklumat kontak rapat dan sejarah pendedahan kerana ia boleh meningkatkan risiko penularan Covid-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga semalam, terdapat 278 kes baru telah dilaporkan dengan 44 kes adalah daripada kluster aktif dan kluster baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 248,419 kes di seluruh negeri ini.
Tambahnya, kumulatif kluster aktif di negeri ini adalah sebanyak 25 kluster, 11 kluster daripadanya adalah penularan dalam industri, komuniti (5), institusi (4), kluster import A (2), pasaraya (1) dan pusat jagaan (1) selain satu kes melibatkan kluster tahanan. – UTUSAN