PETALING JAYA: Polis mengeluarkan saman terhadap 44 pemandu kenderaan berat yang menggunakan lebuh raya di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pagi tadi.
Operasi Lancar dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, sebanyak 2,385 saman dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan berat kerana gagal mematuhi larangan yang dikuatkuasakan pada tahun lalu.
“Bagi 2020 sebanyak 1,458 saman dikeluarkan, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 927 saman.
“Walaupun sudah 10 tahun larangan itu berkuat kuasa namun masih ramai pemandu kenderaan berat masih degil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Bakri, daripada 44 saman dikeluarkan, sebanyak 26 pemandu didapati masuk ketika waktu larangan; tiada lesen memandu (4) dan lampu brek tidak berfungsi (1).
Jelas beliau, selain itu, tiga buah lori disaman kerana kesalahan nombor pendaftaran, tiada lesen GDL (2) dan tiada alat pemadam api dan muatan cara bahaya masing-masing satu.
“Untuk makluman kenderaan berat dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) 10,000 kilogram ke atas tidak dibenarkan untuk menggunakan lebuh raya bermula pukul 6 sehingga 9.30 pagi.
“JSPT terus komited mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana individu yang masih berdegil serta ingkar dengan peraturan dan undang-undang demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.- UTUSAN ONLINE