KUANTAN: Hanya 4,227 tuntutan daripada 66,000 penduduk terjejas banjir seluruh negara yang mengemukakan permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia disediakan kerajaan sejak dilancarkan 18 Januari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, jumlah tersebut masih jauh lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan walaupun belum mengambil kira bilangan yang membuat permohonan secara manual.
Menurutnya, bantuan itu boleh dimohon oleh mereka yang terjejas sehingga 31 Mac depan menerusi portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my.
“Mangsa yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir harus peka dan perlu faham apa yang telah disediakan oleh kerajaan. Saya mendapati bilangan mereka yang mendaftar permohonan secara dalam talian masih sedikit sedangkan tarikh tutup permohonan tersebut akan berakhir pada 31 Mac depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Bank Simpanan Nasional (BSN) Komuniti Mikro dan Kemudahan Perbankan Sungai Lembing, di sini hari ini.
Menerusi pelancaran itu, sekali gus menandakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN mula beroperasi secara rasmi di pekan Sungai Lembing.
Dengan kewujudan mesin itu dapat memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 penduduk Sungai Lembing yang perlu mengambil perjalanan jauh kira-kira 50 kilometer untuk ke Kuantan bagi tujuan mengeluarkan duit atau tunaikan bantuan yang diberikan kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, sebahagian besar mangsa banjir hanya melihat bantuan kewangan melalui bantuan wang ihsan (BWI) sedangkan terdapat pelbagai bantuan lain turut disediakan bagi mengurangkan bebanan mereka.
“Kita kena sampaikan maklumat ini kepada mereka (mangsa banjir) kerana ada antaranya ingatkan hanya ada BWI banjir sahaja, sedangkan banyak lagi (bantuan) diperkenalkan untuk mereka. Macam bantuan automotif, memang sangat penting dalam membantu mangsa banjir yang kenderaan mereka rosak teruk dan jika tidak dibaiki, ia mengganggu urusan harian mereka mencari rezeki.
“Syarat tuntutan juga sudah dipermudahkan, mereka baiki kenderaan sama ada kereta atau motosikal di mana-mana bengkel, dapatkan resit baik pulih kenderaan itu dan buat tuntutan menggunakan borang disediakan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau pusat kawalan operasi bencana (PKOB) daerah,” katanya.
Tambah beliau, selain menggunakan kaedah manual melalui borang disediakan di LHDN dan PKOB, mangsa banjir juga boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian.
“Sehingga kini, hampir 20 syarikat automotif, dengan rangkaian lebih daripada 1,800 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif bantuan ini,” katanya. – UTUSAN