4 ‘pelesit rempit’ diberkas, 43 motosikal disita  - Utusan Malaysia

4 ‘pelesit rempit’ diberkas, 43 motosikal disita 

JSPT Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 117 saman dan menyita 43 buah motosikal dalam  Op Samsung Jalanan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Empat lelaki dipercayai ‘pelesit rempit’ diberkas manakala 43 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi di  daerah Barat Daya dan  Seberang Perai Utara (SPU) di sini, awal pagi tadi. 

Operasi sempena Op Selamat (17) Tahun Baharu Cina itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zafri  Zolkapli bersama lima pegawai kanan dan 28 anggota mulai pukul 12 tengah malam semalam hingga 6 pagi tadi. 

Difahamkan, lokasi tumpuan hujung minggu  kumpulan ‘pelesit rempit’ di daerah Barat Daya adalah di Pantai Seagate dan di bulatan Bayan Baru. 

Zafri berkata, operasi tersebut dijalankan hasil aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan yang sering berlumba dan menunggang motosikal secara bahaya. 

Menurutnya, JSPT Pulau Pinang  mengambil tindakan proaktif dengan mengaturkan pasukan untuk memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran masyarakat setempat. 

“Mengikut pecahan, sebanyak 37 buah motosikal disita di daerah Barat Daya manakala enam lagi motosikal disita di SPU. Polis turut menahan empat lelaki di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987. Dalam operasi tersebut, sebanyak 117 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya di sini hari ini. 

Zafri memberitahu, tindakan penguatkuasaan diambil secara menyeluruh jika terdapat pengguna yang masih enggan mematuhi peraturan di jalan raya terutama kepada pelaku-pelaku samseng jalanan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya