KUALA PILAH: Selepas 21 ekor kambing biri-biri ternakannya mati akibat banjir tahun lalu, kejadian serupa menimpa lagi kepada Amir Mohd. Talib, 59.
Kali ini, 33 ekor kambing mati susulan banjir kilat yang melanda Kampung Air Taling, Dangi di sini semalam.
Menurutnya, kejadian kali kedua ini berlaku kerana air banjir naik begitu cepat di kawasan ladang ternakannya itu.
“Air naik secara mendadak di kawasan ladang ternakan berdekatan rumah pada pukul 2 pagi. Saya tidak sempat mengalihkan kambing biri-biri berkenaan ke tempat lebih tinggi, hanya mampu menyelamatkan diri sahaja.
“Saya juga tidak sempat melihat kambing yang mati kerana saya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana rumah saya juga ditenggelami air sehingga kini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Dewan Besar Dangi, di sini hari ini.
Menurut Amir, dia juga tidak menyangka akan berlaku hujan lebat pada kali ini sehingga menyebabkan kejadian sama berulang.
“Saya ingatkan tiada lagi air yang naik di kawasan ladang ternakan saya namun kali ini hujan agak lebat sehingga menyebabkan 33 daripada 52 ekor kambing biri-biri saya mati. Saya anggarkan kos kerugian sebanyak RM13,200 pada kali ini.
“Bagaimanapun, saya juga berterima kasih dengan penduduk kampung yang membantu menyelamatkan kambing dan lembu saya dengan menggunakan bot kerana saya berada di PPS,” katanya yang sudah empat tahun mengusahakan ladang ternakan kambing biri-biri dan lembu.
Sebanyak sembilan ekor lembu kepunyaannya juga bagaimanapun selamat dalam kejadian banjir tersebut.
Dalam pada itu, dia menjelaskan berhasrat mencari lokasi ladang ternakan baharu selepas ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Saya sudah memikirkan untuk mencari lokasi lain dan mahu mengumpul modal terlebih dahulu.
“Saya juga tidak dapat memikirkan nasib kambing yang masih berada di ladang ternakan kerana sehingga kini ladang saya masih ditenggelami air dan hujan agak lebat,” katanya. – UTUSAN