JOHOR BAHRU: Sesi persekolahan melibatkan 1,184 buah sekolah di negeri ini bermula hari ini bagi penggal ketiga 2021/2022 sehingga penghujung bulan depan.
Bagaimanapun sebanyak 31 buah sekolah di empat daerah tidak dapat memulakan sesi persekolahan tersebut kerana masih terlibat banjir iaitu di Segamat, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.
Daripada jumlah itu, 23 buah sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara baki selebihnya masih dinaiki air sejak bencana itu melanda Johor.
Seramai 684 pelajar di negeri ini telah dipindahkan ke PPS dan sehingga kini lebih 300 daripadanya telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan mula bersekolah seperti biasa.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melati mendapati, semua murid tahun satu hingga enam terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Mereka yang hadir ke sekolah dengan mengenakan pelitup muka turut mengimbas suhu sebelum dibenarkan memasuki pekarangan sekolah.
Walaupun berlaku sedikit kesesakan menuju ke sekolah berikutan ibu bapa menghantar anak, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) membantu melancarkan pergerakan kenderaan tanpa sebarang masalah.
Seorang ibu, Marissa Ismail, 35, berkata, anak lelakinya yang bersekolah di darjah dua teruja untuk kembali ke sekolah selepas bercuti apabila bangun awal pagi ini.
“Sudah beberapa hari saya beritahu dia sekolah akan buka semula jadi perlu bersedia dan nampaknya hari ini dia memang bersemangat untuk ke sekolah seperti biasa.
“Meskipun kita masih dilanda pandemik Covid-19 termasuk kehadiran varian Omicron, namun saya percaya kita telah mengambil pelbagai langkah yang perlu demi memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas,” katanya.