25 panel pakar diyakini mampu beri solusi isu hartanah negara - Utusan Malaysia

25 panel pakar diyakini mampu beri solusi isu hartanah negara

REEZAL Merican Naina Merican (dua kiri) menyampaikan watikah pelantikan panel pemikir kepada Jufitri Joha (dua kanan) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis panel berkepakaran (POE) bakal merungkai kemelut isu hartanah negara.

Pelantikan 25 anggota tersebut juga disaring teliti oleh jawatankuasa di kementerian itu bagi memberi input penyelesaian pelbagai masalah dialami sektor hartanah sejak sekian lama.

“Saya yakin POE seumpama badan pemikir yang mungkin kementerian ada terlepas pandang beberapa isu agar model pembangunan hartanah ditambah baik lagi selepas ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 ahli POE di sini hari ini yang turut dihadiri oleh timbalannya, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib.

Panel itu disertai antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Pengerusi Ganti selain turut dianggotai tokoh korporat terkenal iaitu Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Zamani Abdul Ghani; Pengarah Penyelidikan Khazanah Institute, Dr. Suraya Ismail; Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan.

Reezal Merican berkata, isu pemilikan rumah, kekurangan rumah mampu milik dan lambakan rumah di seluruh negara antara topik yang perlu diperhalusi anggota POE dan satu pendekatan baharu lebih tersusun wajar dirangka segera dan ini selaras misi kementerian menggalakkan generasi muda mempunyai rumah pada awal usia belia.

Beliau turut menggariskan lima cabaran yang perlu dilihat bersama iaitu ketersediaan rumah, aksesibiliti pemilikan, kemampuan pembelian, kualiti perumahan dan tahap daya huninya sertab penekanan isu itu amat penting kerana memberi kesan besar khususnya bagi golongan muda dan B40 sukar menyediakan wang pendahuluan bagi memiliki rumah sendiri.

Pada masa sama jelasnya, POE perlu memikirkan bagaimana menjayakan sasaran 500,000 unit rumah mampu milik Rancangan Malaysia Ke-12 yang perlu diuruskan menjelang 2025.

Reezal Merican namun turut memberi jaminan, kementerian sedia membantu rakyat menerusi beberapa pendekatan seperti pengecualian duti setem dalam Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang merangkumi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman selain bakal memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Malaysia melalui syarikat jaminan kredit dan Cagamas Berhad.

“Saya ada keyakinan tinggi isu ini boleh ditangani namun disebabkan keterbatasan maklumat, saya memerlukan idea pihak luar sebagai gabungan inisiatif strategik yang sepadu. Contoh dapatan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara yang mengenal pasti 24 peratus kediaman gagal dijual di seluruh Malaysia walhal ramai orang masih lagi tiada rumah. Keadaan itu amat pelik dan memerlukan data teliti terutama faktor rakyat tidak mampu beli rumah sedangkan berlaku lambakan selain isu lonjakan harga pasaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya