ALOR SETAR : Kira-kira 200,000 kenderaan perantau dan pelancong dijangka memasuki Kedah sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula esok.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah kenderaan tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa dengan jumlah sekitar 60,000 kenderaan sehari.
Menurutnya, aliran trafik dijangka lebih sesak di Baling berikutan jalan keluar masuk ke negeri sempadan seperti ke pantai timur melalui Tol Plaza Lunas.
“Arahan telah dikeluarkan kepada pihak trafik untuk melakukan operasi khas dengan menfokuskan elemen seperti pemantauan kepada kenderaan berat.
“Pemeriksaan lebih rapi turut dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan trend kemalangan yang agak membimbangkan sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan turut mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan seperti di Sungai Petani, Baling dan Kulim.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memberitahu, kejadian jenayah seperti kekerasan samun, ragut serta penganjuran aktiviti perjudian dijangka rancak di musim perayaan ini.
“Melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Op Tahun Baru Cina telah dilaksanakan di negeri ini bermula pada 25 Januari sehingga 7 Februari ini.
“Sejak dari tempoh itu, sebanyak 129 tangkapan melibatkan pelbagai kes jenayah serta rampasan sebanyak 73 barang kes termasuk wang tunai dianggarkan RM26,563 dirampas,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE