JOHOR BAHRU: Johor bakal menyaksikan seramai 2,599,797 juta pengundi aktif daripada keseluruhan kira-kira 3.52 juta penduduk negeri ini akan layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Berdasarkan data terkini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah itu disenaraikan sebagai Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan pada 17 Januari lalu.
Mengikut data tersebut, Johor merekodkan seramai 2.57 juta pengundi biasa terdiri daripada orang awam manakala seramai 10,958 pengundi tentera dan pasangan, serta 11,578 pengundi polis dan pasangan mereka.
Selain itu, pengundi luar negara pula melibatkan seramai 376 orang.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di bawah Parlimen Iskandar Puteri menyaksikan jumlah pengundi teramai iaitu 116,230, diikuti DUN Puteri Wangsa di Parlimen Tebrau melibatkan seramai 112,658 pengundi.
Kerusi DUN Bukit Naning di kawasan Parlimen Bakri merekodkan jumlah pengundi paling rendah dalam PRN Johor kali ini iaitu seramai 21,637 pengundi.
SPR sebelum ini memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene.