BERSUSAH-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Itulah yang dilalui oleh pelakon baharu ini ketika mencari peluang dan ruang untuk menyinarkan bakat lakonannya.
Cerita Razzuan Rosli, dia menyedari bakat terpendam itu bermula selepas terlibat dalam sebuah projek teater siswa. Setelah itu, dia tekad menjadi seorang pelakon secara serius.
Imbasnya yang menyifatkan kehidupan sebelum ini gagal kerana tiada hala tuju jelas, dia bersyukur kerana titik permulaan itu telah memberi sinaran yang tidak disangkakan.
Jelas Razzuan lagi, dia mengambil masa selama 11 tahun untuk mengecapi peluang berharga hari ini.
“Selepas tamat pengajian diploma grafik, saya menjalani latihan industri di Media Prima. Dari situ, saya nampak ada peluang untuk bergelar pelakon menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).
“Tapi, saya persiapkan diri terlebih dahulu selama setahun sebelum DFKL seterusnya dengan memasuki kelas lakonan Nam Ron dan Fauziah Ahmad Daud.
“Sewaktu praktikal di sana, saya juga berpeluang berjumpa dan nampak gaya hidup seorang pelakon bagaimana. Dari pemerhatian dan pengamatan serta borak santai, saya mula faham dan belajar, betapa ilmu lakonan itu sangat penting,” katanya yang berjaya menempatkan diri di dalam kelompok DFKL 2019.
Antara drama yang pernah dibintangi seperti Cinta Yang Ku Rasa, Rumah Siti Khadijah, dan Lelaki Mu Yang Dulu.
Selepas membintangi beberapa karya rangkaian di saluran RTM dan TV3, Razzuan juga lebih dikenali dengan watak Faris sebagai anak ikan menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2.
KEBIMBANGAN
Tanyakan pada siapa pun pasti ada rasa risau dalam diri mereka. Apatah lagi kalau selepas sedekad sudah tidak laku. Jujurnya itulah yang turut dirasai oleh Razzuan.
“Kalau sebelum bergelar pelakon, soal atau terbit rasa kerisauan memang tiada. Namun sekarang ini, bila sudah faham selok-belok untuk kekal dalam pasaran dengan bermodalkan bakat, rasa risau itu memang wujud dan sentiasa terbit.
“Macam mana agaknya saya selepas 10 tahun nanti kalau tiada simpanan dan tiba-tiba tidak laku, itu kerisauan saya.
“Sejujurnya saya puas berlakon, bukan nak kata duit itu tidak penting. Tetapi saya lebih pilih kepuasan asalkan boleh jalani hidup seperti biasa,” ujarnya.
Bijak mengatur langkah, Razzuan juga persiapkan diri dengan meniaga makanan ringan jenama sendiri bersama rakan niaga, Firdhaus Rahmat iaitu, Caremuch Salted Caramel Rice Chocolate.
Bercakap mengenai kerisauan, Razzuan juga berhati-hati dalam penggunaan media sosial.
“Bagaimanapun, saya selalu bercakap dengan diri sendiri. Ini harga untuk seorang yang bekerja sebagai pelakon. Sentiasa menjadi perhatian umum, jadi kenalah korbankan privasi peribadi,” akhirinya.