KUANTAN: Sepanjang kira-kira 1,000 kilometer (km) denai tepi sungai di seluruh negara berjaya dipulihkan untuk dijadikan kawasan rekreasi dan taman awam sejak dua tahun lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, pemulihan tersebut hanya dapat dilakukan selepas kerajaan negeri mengenal pasti kawasan rizab sungai untuk dinaik taraf.
Menurutnya, melalui program Denai Kebangsaan yang dianjurkan pelbagai aktiviti dalam pengindahan sungai dilaksanakan khususnya dalam melibatkan pembinaan denai.
“Kalau ikutkan perancangan pihak kita menyasarkan pembinaan 10,000km denai di seluruh negara menjelang 2030. Sejak pelaksanaan program ini (Denai Kebangsaan) kita sudah pulih 1,000km denai tepi sungai di seluruh negara.
“Bagi tujuan pemulihan, pihak kita sudah membelanjakan hampir RM10 juta pada setiap tahun bagi tujuan menjadikan kawasan tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ‘mari kita kudah’ di Sungai Galing di sini hari ini.
Sementara itu, Zaini berkata, pemilihan Sungai Galing dibuat berikutan ia mempunyai nilai sejarah tersendiri sekali gus merupakan tapak terwujudnya Bandaraya Kuantan.
Katanya, disebabkan itu denai tepi Sungai Galing ini perlu dipulihkan agar ia menjadi satu kawasan rekreasi dan tarikan kepada penduduk tempatan dan juga luar.
“Kita hendak pastikan Sungai Galing ini mempunyai perubahan dari segi kualiti air dan masyarakat setempat khususnya mereka yang berada di pinggir sungai menjaga sungai ini sebaiknya sekali gus mengelak daripada menjadi tumpuan mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Hari ini, kita sudah bersihkan kawasan Sungai Galing dan banyak sampah sarap berjaya dikutip. Kita harap selepas pembersihan Sungai dibuat tiada lagi pencemaran di dalam sungai ini,” katanya.
“Kewujudan denai di tepi sungai akan menggalakkan aktiviti seperti berjoging, berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.