BUTTERWORTH: Jumlah Bantuan Dermasiswa Pengajian di bawah kelolaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) mulai tahun depan dijangka mengambil kira pencapaian akademik penuntut ketika memohon.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, ini bagi memberi motivasi kepada setiap penerima untuk berusaha lebih gigih jika inginkan pembiayaan lebih tinggi.
Ketika ini, jelas beliau, jumlah bantuan kepada setiap penerima adalah seimbang iaitu bergantung kepada tahap pengajian dan jurusan diambil.
“Sebagai contoh, RM2,000 diberikan untuk peringkat diploma, RM3,500 peringkat ijazah sarjana muda dan sebagainya jika layak. Justeru, mulai tahun depan, ZPP bersetuju menambah nilai bantuan dermasiswa jika pemohon itu terdiri daripada kalangan pelajar atau penuntut yang cemerlang sebagai galakan untuk mereka berusaha dengan lebih kuat lagi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pengajian serta Sagu Hati Guru Agama ZPP dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Dr. Roslan Ahmad.
Sebanyak RM10.4 juta diperuntukkan oleh ZPP untuk diagihkan kepada seramai 2,568 anak negeri yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara dalam bentuk Bantuan Dermasiswa Pengajian tahun ini. – UTUSAN ONLINE