PETALING JAYA: Penjaring gol pembukaan buat Kuala Lumpur City (KL City), Zhafri Yahya mengakui tidak menjangkakan bahawa pasukan akan muncul juara Piala Malaysia dan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Pemain berusia 27 tahun itu meledak gol pertama KL City ketika membantu pasukannya melakar kejutan besar dengan menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Zhafri turut mengakui bahawa kejayaan menjulang trofi tertua itu sebagai pencapaian tertingginya di pentas Liga Malaysia (Liga M) dan selepas enam tahun bersama KL City.
“Terima kasih kepada jurulatih sebab dia yang mengenal pasti posisi yang saya gemari.Kami datang untuk final ini bukan sebagai pasukan pilihan dan kami cuma fokus 90 minit untuk kita tidak kalah.
“Mungkin saya ada terlepas dua peluang, tapi akhirnya saya dapat satu peluang yang betul-betul saya tak lepaskan. Jadi gol pertama itu sangat memberi semangat kepada pasukan.
“Saya terkejut dengan pencapaian KL City sekarang ini. Kami datang ke final bukan sebagai pasukan pilihan, tapi kami boleh kalahkan JDT, itu yang saya sangat gembira,” katanya selepas perlawanan.
Kejayaan menewaskan JDT yang juga juara bertahan menyaksikan KL City menamatkan penantian 32 tahun untuk merampas kembali Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.