PUTRAJAYA: Kejayaan YTL Construction melengkapkan pelbagai projek rel tempatan sejak 25 tahun lalu membolehkan ia meraih anugerah Platinum bagi segmen pengangkutan darat.
Lebih membanggakan, Pengarah Pemegang Berkepentingan syarikat tersebut, Natasha Zulkifli turut dinobatkan menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita Rel Sepanjang Tahun.
“Kami berasa terharu mendapat anugerah tertinggi ini yang membuktikan kerja keras kami puluhan tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Rel YTL, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Pengangkutan dan Logistik Antarabangsa Kuala Lumpur (Kilat) 2021 hari ini.
YTL terlibat dalam pengangkutan darat menerusi projek Express Rail Link (ERL) pada 1997 menghubungkan stesen Sentral KL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selain membangunkan keupayaan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) tersendiri dengan memiliki ramai juruteknik dan jurutera profesional tempatan.
Mengulas lebih lanjut, Azmi berkata, syarikat tersebut ketika ini turut sibuk menyiapkan projek landasan rel berkembar elektrik terkini antara Gemas, Negeri Sembilan ke Johor Bahru, Johor.
“Kami komited melengkapkan projek sejauh hampir 200 kilometer yang sudah siap 80 peratus dan dijadual boleh diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan pada Jun 2023,” katanya.
Pada majlis yang sama, YTL Construction turut memeterai Memorandum Persefahaman dengan Universiti Malaya dan Keretapi Tanah Melayu Berhad untuk pembangunan teknologi rel.
Syarikat itu juga menyumbang RM1 juta untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan sistem pengurusan landasan tanah air supaya standardnya mampu bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Natasya ketika mengulas penganugerahan ke atas dirinya, menyifatkannya sebagai pengiktirafan keupayaan golongan wanita dalam memajukan industri rel tempatan.
Beliau yang mengasaskan badan bukan keuntungan, Women in Rail Malaysia sejak 2017 itu berharap penganugerahan tersebut dapat menarik ramai wanita dalam bidang kereta api.
“Sehingga kini, hampir 5,000 pelajar di seluruh negara sudah berpeluang mengikuti ceramah kepemimpinan dianjurkan kami dalam membina kerjaya profesional pengangkutan rel,” katanya. – UTUSAN ONLINE