YIM bantu pendawaian elektrik mangsa banjir di Pahang, Selangor 

YIM bantu pendawaian elektrik mangsa banjir di Pahang, Selangor 

ADHAM Baba (empat dari kanan) bersama Mohd. Shahar Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan mangsa banjir di PAKR Bukit Rangin, Kuantan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjalankan pemeriksaan pendawaian elektrik secara percuma bagi kediaman mereka yang terjejas teruk akibat musibah banjir di Pahang dan Selangor. 

Perkhidmatan menerusi program Mobifix Adiwira YIM tersebut diberikan bagi memastikan kediaman setiap mangsa banjir yang ditenggelami air selamat daripada sebarang litar pintas.

Selain menukar soket baharu, pasukan Mobifix Adiwira YIM turut memeriksa peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais serta memberi khidmat nasihat tentang penggunaan barangan yang ditenggelami air banjir.

Sehingga kini, perkhidmatan tersebut dilaksanakan di beberapa taman perumahan di Dengkil, Selangor dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin di daerah ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pemeriksaan pendawaian elektrik di kawasan PAKR Bukit Rangin dilakukan dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan. 

Katanya, seramai 23 orang ditempatkan di taman perumahan berkenaan dan pasukan Mobifix Adiwira YIM akan berada di situ sehingga kesemua 750 buah rumah di PAKR tersebut siap diperiksa. 

“Kerja-kerja pemeriksaan pendawaian ini sudah bermula pada Rabu lalu dan pada hari ini (Khamis) sebanyak 100 rumah mangsa banjir akan diperiksa. 

“Pemeriksaan itu dilakukan kerana kawasan taman perumahan ini ditenggelami air banjir setinggi enam kaki (1.8 meter) dan menyebabkan soket dimasuki air,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan bantuan banjir MOSTI di PAKR Bukit Rangin, di sini hari ini. 

Yang hadir sama,Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh.

Sementara itu, Pegawai Latihan Vokasional IKBN Pekan, Mohd. Zulafendi Abdullah berkata, pihaknya diminta oleh YIM untuk membantu dan menjadi sukarelawan bagi memeriksa pendawaian elektrik di taman perumahan tersebut.

“Kita bukan sahaja memeriksa pendawaian elektrik, tetapi turut menukar soket dan memeriksa perkakas elektrik milik mangsa. Ini dilakukan demi keselamatan penduduk,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya