YGMB sedia 22 anugerah Hari Guru - Utusan Malaysia

YGMB sedia 22 anugerah Hari Guru

WAN MUNADI WAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyediakan empat kategori anugerah utama sempena Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 hari ini.

Anugerah-anugerah berkenaan ialah Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Ikon, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, daripada empat kategori utama itu pula dibahagikan pula kepada beberapa kategori tertentu. 

Antaranya,  Anugerah Guru Cemerlang meliputi lima  kategori iaitu Guru Cemerlang OKU, Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Guru Cemerlang Orang Asli/Pribumi, Guru Hebat Bahasa yang masing-masing bernilai RM3,000 untuk setiap penerima. 

“Begitu juga bagi kategori Anugerah Khas Pendidikan ada enam kategori antaranya kategori Sukarelawan, Guru Gigih Pedalaman, Kategori Kepimpinan Menengah dan Rendah yang bernilai RM4,000 setiap penerima. 

“Kesemuanya melibatkan sebanyak 22 anugerah dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM72,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Munadi berkata,  YGMB percaya kategori guru-guru berkenaan juga perlu lebih didendangkan “Ibarat Unsung Hero, kategori guru-guru yang saya sebutkan inilah hero yang sebenar misalnya Guru Cemerlang OKU yang mendidik anak bangsa dengan mencabar kekurangan diri, begitu juga Guru Gigih Pedalaman dan Guru Orang Asli yang berkhidmat.

“Tahniah atas pengorbanan tidak ternilai guru-guru yang mendidik anak bangsa dalam tempoh sukar negara mengharungi dua tahun  pandemik ini, terimakasih YGMB ucapkan,” katanya.

Mengenai YGMB, kata beliau, pihaknya komited untuk terus menjaga kebajikan guru termasuk yang  terkesan akibat dijangkiti Covid-19 menerusi manfaat perlindungan diberikan sejak Ogos tahun lalu.

“Bagi guru-guru yang mungkin terlepas pandang atau pun tidak berkesempatan  memiliki mana-mana skim perlindungan dalam keadaan jika mereka sudah berumur, apatah lagi jika mereka sudah ada penyakit, sudah ada kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya, sudah tentu susah bagi mereka untuk mendapat mana-mana skim perlindungan.

“Maka di sinilah peranan YGMB. Kita terima semua cikgu dalam apa jua keadaan, sekali pun walaupun mereka sudah ada penyakit, tanpa perlu isytihar kesihatan mereka, tanpa perlu kemukakan laporan pemeriksaan kesihatan. 

“Malah kita menyediakan perlindungan sehingga mencapai umur 80 tahun,” katanya.

Wan Munadi berkata, guru sememangnya sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko termasuk risiko jangkitan Covid. 

“Sebab itu guru-guru kita memerlukan suatu bentuk jaminan perlindungan, jaminan kebajikan untuk diri mereka. Hari ini kita dah ada lebih 20 manfaat kebajikan dan perlindungan. Antaranya manfaat penyakit kritikal, bantuan rawatan hospital, hilang upaya dan kecacatan kekal, bantuan bencana dan kos bantuan guaman.

“Ini khususnya bagi guru-guru yang berhadapan dengan tindakan undang-undang atau saman pihak-pihak tertentu, insentif melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kes-kes kemalangan dan banyak lagi,” katanya.

Mengenai perancangan YGMB, kata beliau, pihaknya merancang  meneruskan semula Festival Guru Malaysia (FGM) Tahun 2019 yang dilaksanakan  semasa Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang.

“Keduanya pula, pada tahun depan ini YGMB merancang menyediakan manfaat dalam bentuk tajaan kepada ahli yang terpilih untuk melanjutkan pengajian tinggi ke peringkat master dan Phd secara separuh masa. Ini perkara baharu. Selama ini kita beri dalam bentuk satu bantuan permulaan berupa insentif. 

“Tetapi kali ini kita nak tambah baik dalam bentuk menaja sepenuhnya yuran pengajian mereka yang buat master dan Phd kerana mengikut statistik kami, ramai ahli YGMB yang melanjutkan pengajian tinggi. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja kita telah memberikan Insentif Pengajian Tinggi ini lebih dari  setengah juta ringgit,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya