PETALING JAYA: Banjir luar biasa di Lembah Klang dengan beberapa negeri mula dilanda musim tengkujuh kelmarin menarik perhatian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk tampil meringankan beban ahlinya yang terjejas akibat bencana tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, warga pendidik ahli YGMB yang terjejas akibat rumah dinaiki air, dipukul ribut atau tanah runtuh layak mendapat salah satu manfaat disediakan pihaknya.
“Musim tengkujuh kali ini luar biasa. Jadi, mana-mana warga pendidik kalangan ahli yang belum pernah menerima manfaat kategori bencana boleh menghubungi pihak kami supaya sumbangan dapat disalurkan seberapa segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak lapan negeri iaitu Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang terkesan dengan banjir melanda sejak kelmarin.
Bencana itu ekoran Lekukan Tropika membadai selatan Filipina apabila fenomena berkenaan mengukuhkan Angin Timur Laut bertiup dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan merentasi Semenanjung.
Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, YGMB komited untuk terus menjaga kebajikan guru termasuk yang terkesan akibat dijangkiti Covid-19 menerusi manfaat perlindungan diberikan sejak Ogos tahun lalu.
Terdapat lebih 20 manfaat kebajikan dan perlindungan disediakan. Antaranya manfaat penyakit kritikal, bantuan rawatan hospital, hilang upaya dan kecacatan kekal, bantuan bencana dan kos bantuan guaman.
Bantuan juga disalurkan kepada guru-guru yang berhadapan dengan tindakan undang-undang atau saman pihak-pihak tertentu, insentif melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan kes-kes kemalangan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-59 yang dihadirinya di Melaka kelmarin, Wan Munadi berkata, YGMB menghargai peluang penyertaan dalam program tiga hari dihadiri seramai 550 pengetua dari seluruh negara itu.
“YGMB berharap dengan pertemuan itu dapat kita duduk bersama dengan barisan hadapan para pengetua yang sudah tentu cukup maklum dan faham masalah guru-guru. Ia akan membolehkan kami di YGMB untuk berusaha memartabatkan lagi profesion keguruan dengan menambah baik keperluan kebajikan dan jaminan perlindungan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE