PETALING JAYA: Selangor FC menandatangani pemain import pertama iaitu pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Berasal dari Russeifa, pemain itu telah memiliki 24 penampilan bersama pasukan kebangsaan Jordan dan kemunculan pertamanya bersama pasukan itu ketika berusia 21 tahun.
Pemain berusia 25 tahun itu, dilihat mampu memberi impak kepada barisan pertahanan dengan kelebihan yang dimilikinya menurut ketua jurulatih Selangor Michael Feichtenbeiner.
“Saya lihat perlawanannya bersama pasukan Jordan pada bulan Oktober dan sangat kagum dengan prestasinya. Dari situ, kami (barisan kejurulatihan) memerhatinya dengan sangat dekat dan kami memulakan perbualan secara peribadi sehingga perjanjian ditandatangani.
“Yazan bermain bola sepak di peringkat tertinggi bersama kelab dan pasukan kebangsaannya. Beliau mempunyai fizikal yang kuat dan sangat bagus di udara.
“Beliau seorang bek tengah dengan kekuatan kaki kiri dan ini dilihat mampu menambah kekuatan barisan pertahanan tengah yang kebanyakan lebih dominan dengan kaki kanan. Beliau akan menjadi watak baharu dalam pasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemain yang memiliki ketinggian 186cm itu juga sangat gembira dapat menyertai pasukan Gergasi Merah.
“Saya teruja nak berjumpa dengan semua termasuklah penyokong Selangor. Saya akan bekerja keras untuk membantu Selangor dalam memberi cabaran musim hadapan dan meletakkan pasukan kembali sebagai pencabar kejuaraan,” katanya.
Yazan merupakan pemain terbaru kedua yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor memperkenalkan Samuel Somerville kelmarin.