PETALING JAYA: Dua pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid disahkan positif Covid-19, sekali gus terlepas dua perlawanan pembukaan Piala AFF di Singapura.
Perkara tersebut disahkan oleh pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ketika dihubungi Utusan Malaysia, sebentar tadi.
Bermakna, kedua-dua pemain tersebut akan diketepikan dalam dua aksi awal Kumpulan B menentang Kemboja petang esok, diikuti Laos, tiga hari kemudian masing-masing di Stadium Binshan, Singapura.
Difahamkan, kedua-dua pemain tersebut kini sedang pengasingan kendiri di hotel penginapan.
“Ya betul Yan (penjaga gol, Khairulazhan) dan Mickey (pemain tengah, Faisal) (dijangkiti wabak Covid-19 menjelang aksi pembukaan Malaysia di Piala AFF),” katanya.
Terdahulu, tular ciapan dari laman sosial Asean Football bahawa dua pemain Malaysia dan satu (Myanmar) dijangkiti wabak tersebut.
Bagaimanapun ketiadaan dua pemain negara itu ketika bergambar bersama kesemua 23 pemain (tidak termasuk Dion Cools), barisan jurulatih dan pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menimbulkan tanda tanya.