KUANTAN: Seorang warga emas dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di Laman Cheroh, Raub, dekat sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa, Por Kong Ming, 79, berasal dari Kampung Cheroh.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa ke tebing sungai sejauh 50 meter dari rumahnya kerana kawasan berkenaan terputus bekalan air, kira-kira pukul 7 malam semalam.
“Kali terakhir mangsa dilihat adalah di kedai kopi Cheroh pada pukul 6 petang hari yang sama dan selepas itu, anak saudara mangsa pergi ke rumahnya bagi menghantar makanan namun mendapati mangsa tiada di rumah.
“Pemeriksaan yang dibuat di sekitar kawasan rumah, mendapati ada kesan tergelincir di tebing sungai dan terdapat selipar serta gayung milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Raub. – UTUSAN ONLINE