LAWAS: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang ketika sedang mencari lokan di Sungai Kanwai, Sundar di sini malam tadi bersama seorang rakannya.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan yang memaklumkan mengenai kehilangan lelaki berkenaan pada pukul 8.40 malam.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Amit Matasan, 71.
Menurut kronologi kejadian, rakannya, Roseli Sahari bersama mangsa yang hilang telah keluar mencari lokan di sungai Kanawai dengan menaiki sebuah bot fiber menggunakan enjin Yamaha 40hp pada pukul 6 pagi semalam.
Pada pukul 2.40 petang, Roseli dan mangsa mula berpecah untuk mencari lokan.
Bagaimanapun, sehingga pukul 7 malam kedua-duanya tidak dapat berkumpul semula, dan Roseli mengambil keputusan untuk balik ke rumah membuat laporan tentang kehilangan mangsa.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergerak ke lokasi kejadian di Kampung Aru, Sundar untuk menjalankan operasi mencari mangsa.
Katanya, sebelum operasi dan mencari dijalankan pihak bomba telah mengadakan taklimat kepada orang kampung.
“Kaedah pencarian adalah di permukaan air pada radius tujuh kilometer di sepanjang Sungai Trusan menuju ke Sungai Kanawai, bermula dari lokasi mangsa kali terakhir kelihatan,” katanya.
Katanya, pasukan SAR hari ini terdiri daripada lima anggota bomba dari Balai Bomba Lawas diketuai oleh PBK II Mazrom Ampahon dengan dibantu 10 orang penduduk kampung.