KINABATANGAN: Seorang wanita maut manakala lapan mangsa cedera apabila kenderaan dinaiki terbabas di bahu jalan di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 41 kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati sebuah Isuzu Dmax terbabas di bahu jalan dan terdapat sembilan mangsa terlibat.
“Seorang mangsa wanita didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa lain yang cedera telah diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 9.30 pagi setelah pemeriksaan mendapati tiada kemerbahayaan lain di kawasan sekitar.