GEORGETOWN: Seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut dengan empat kesan kelar di bahagian badan termasuk di bahagian leher sepanjang 13 sentimeter di Apartment Sri Nipah, Sungai Nibong, di sini,malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mayat mangsa ditemukan berlumuran darah oleh dua lelaki warga Bangladesh yang merupakan penyewa di unit kediaman tersebut sebelum memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, unit kediaman tersebut mempunyai tiga buah bilik yang disewa tiga lelaki Bangladesh.
“Seorang penyewa lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun yang disyaki suspek utama kes ini melarikan diri dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
“Selain kesan kelar di leher, mangsa berusia 45 tahun itu dikelar di bahagian perut, dada dan di belakang telinga malah dua bilah pisau dipercayai menjadi senjata pembunuhan turut ditemukan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selain kesan kelar pada bahagian badan, polis menemukan kesan ikatan tali pada bahagian pergelangan tangan dan kaki mangsa.
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin diikat terlebih dahulu sebelum dibunuh, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan soal siasat dengan dua penyewa lelaki di rumah itu, mereka memaklumkan terdengar pertengkaran di dalam bilik di antara mangsa dan suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu pukul 7.30 pagi semalam.
“Mereka kemudian keluar bekerja dan selepas pulang ke rumah pada waktu malam ternampak mangsa berlumuran darah di dalam bilik.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam namun akan disahkan selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Soffian berkata, dua penyewa rumah berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan dan butir-butir peribadi suspek telah diperoleh.
“Polis menjumpai beberapa dokumen seperti pasport dipercayai milik mangsa, namun identiti wanita berkenaan akan disahkan selepas proses bedah siasat dilakukan dan polis masih menyiasat hubungan suspek dan mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE