BALING: Seorang wanita maut selepas digilis sebuah lori manakala bapanya cedera dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Batu 42, Simpang Parit Panjang/Batu 5 Sik di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Normah Sudin, 54, dari Kampung Carok Sik, Mukim Pulai digilis lori selepas motosikal yang ditunggang bapanya, Sudin Kassim, 73, terjatuh setelah bergesal dengan kenderaan tersebut.
Bagaimanapun, Sudin hanya mengalami cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori jenis Hino datang dari arah Kampung Lalang menghala ke Kupang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, lori tersebut yang dipandu oleh lelaki bergesel dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Sudin dari arah sama,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa yang membonceng motosikal terjatuh di atas jalan sebelum digilis.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya hanya mengalami cedera ringan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. Mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE