Wan Junaidi kongsi kejayaan Malaysia perangi rasuah di konvensyen PBB - Utusan Malaysia

Wan Junaidi kongsi kejayaan Malaysia perangi rasuah di konvensyen PBB

WAN JUNAIDI Tuanku Jaafar berucap secara rakaman video mewakili Malaysia untuk Persidangan UNCAC di Mesir minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejayaan Malaysia membanteras rasuah antara dikongsi pada Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) yang diadakan di Mesir ketika ini.

Ia didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mewakili Malaysia pada persidangan dwitahunan itu yang berlangsung di Pusat Kongres Antarabangsa, Sharm El-Sheikh dengan dihadiri 152 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memeterai UNCAC sejak 2003.

“Komitmen kerajaan Malaysia malah dapat dilihat jelas dalam pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara,” katanya.

Menurut kenyataan pejabat beliau di sini hari ini, semua negara yang berhimpun menyatakan komitmen dalam memastikan keberkesanan kerjasama sejagat menentang gejala rasuah termasuk memperkukuhkan pelbagai artikel UNCAC bagi membendung jenayah korupsi ketika dunia berada dalam fasa pemulihan selepas terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang berucap secara rakaman video berkata, Malaysia turut teguh menyokong usaha PBB itu dalam menangani amalan rasuah di peringkat antarabangsa.

“Malaysia bahkan berjaya menyita aset berjumlah RM5 bilion, sebahagian besar ialah aset dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai kes,” katanya yang turut berkongsi usaha negara antaranya memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 1990 berhubung liabiliti korporat berkuat kuasa sejak 1 Jun 2020.

Langkah itu untuk memerangi rasuah dalam kalangan sektor swasta selain penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi meningkatkan keberkesanan Akta SPRM.

Jelasnya, kerajaan bakal memperkenalkan Akta Ombudsman bagi menangani salah tadbir agensi awam dan membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi untuk rujukan badan korporat.

Justeru, Wan Junaidi yakin dengan segala strategi dan komitmen semua pihak, Malaysia berupaya mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi kerajaan sebagai bebas rasuah sekali gus meletakkan Malaysia kekal berdaya saing di persada global selain melalui iltizam penyertaan beberapa jabatan dan agensi kawal selia dalam persidangan ini.

Bukti kesungguhan kerajaan dalam acara UNCAC itu katanya, demi memastikan prinsip ketelusan dan akauntabiliti terus diamalkan bagi membentuk ekosistem negara bebas rasuah. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya