KANGAR : Kerajaan negeri memberi jaminan dalam Bajet 2022 peruntukan akan diberikan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, meskipun tidak ada menandatangani apa-apa perjanjian dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang namun apa yang lebih penting adalah semangat kerjasama antara satu sama lain demi kebaikan rakyat di negeri ini.
Justeru, Azlan berharap, ADUN-ADUN pembangkang dapat terus memberikan kerjasama bukan sahaja dengan apa yang terkandung di dalam bajet berkenaan.
“Sebagaimana saranan ADUN-ADUN agar kerajaan negeri menyediakan peruntukan tahunan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang dan itu kerajaan telah pertimbangkan dan meluluskannya.
“Semasa kita meluluskan Bajet 2021 pada bulan Disember lalu, peruntukan juga diberikan kepada ADUN-ADUN pembangkang. Saya beri jaminan untuk Bajet 2022 juga akan memberi peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Gan Ay Ling (PKR- Indera Kayangan) mengenai apakah perancangan dan tindakan kerjasama di peringkat kerajaan negeri dengan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) setelah termenterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH.
Azlan berkata, MoU tersebut sebenarnya hanya terpakai dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat bukannya di peringkat negeri.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri telah memulakan kerjasama dengan pihak dari parti-parti pembangkang khususnya wakil-wakil rakyat di negeri ini.
“Contohnya apabila kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 di peringkat awal lagi, saya telah membuat suatu keputusan bahawa kita tidak akan membezakan atau menganaktirikan khususnya dalam soal menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat Covid-19.
“Sebab itu juga, jumlah peruntukan yang sama rata telah diberikan kepada ADUN-ADUN kerajaan dan juga ADUN-ADUN pembangkang.
“Pelaksanaan itu, memang kita menghadapi isu-isu yang akhirnya kita terpaksa membuat penyesuaian untuk memastikan akhirnya diperolehi oleh rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE