KUCHING: Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Balai Polis Sg. Maong pukul 2 petang tadi susulan penahanannya kelmarin.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang mengadukan perkara tersebut supaya pihak polis mengambil tindakan lanjut terhadap SPRM.
Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan, Lee Shan mendakwa ditahan pegawai SPRM ketika beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park, diarah berhenti dan kunci keretanya diambil.
Sumber SPRM memberitahu Utusan Malaysia, dakwaan beliau ditahan pihak berkuasa tanpa sebab adalah tidak tepat sebaliknya beliau diminta tampil memberi penjelasan berhubung penawaran pemberian wang tunai RM3,000 kepada pengundi di negeri ini jika mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.
Lee Shan pula memberitahu Utusan Malaysia, SPRM menyiasat beliau di bawah Seksyen 16 (b) A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menerima suapan dengan memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau faedah orang lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab untuk ‘kerajaannya’ jika menang pilihan raya membantu rakyat dengan wang melalui pemberian subsidi.
Beliau yang mengetuai PBK dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-12 kali ini membawa kempen Bebaskan Sarawak dari Malaysia atas dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat negeri ini dan menawarkan dana bantuan kesusahan khas RM3,000 untuk pengundinya namun terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi pada pilihan raya.
Caption: Voon Lee Shan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Balai Polis Sg. Maong pukul dua petang tadi susulan penahanannya kelmarin. -UTUSAN ONLINE