PETALING JAYA: Tindakan seorang wanita melempar lima ekor kucing ke dalam sangkar dengan cara kasar menimbulkan reaksi kurang senang warganet terhadapnya.
Kejadian 22 Disember lalu tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan disiarkan empunya haiwan peliharaan itu di laman media sosial TikTok, rosella_rosell yang mendakwa mengupah pelaku untuk menjaga rumah serta kucingnya semasa ketiadaan di rumah.
Jelasnya, pelaku adalah individu yang sering diupah oleh penduduk di satu loaksi di Klang untuk menjaga dan mengemas rumah, malah rata-rata penduduk menyatakan pelaku cermat dalam melakukan pekerjaannya.
“Dia orang lama area kawasan rumah dan memang selalu penduduk panggil kemas rumah, jaga rumah serta kucing kalau balik kampung. Rata-rata semua kata okey tapi di sebaliknya, kita sendiri tak tahu.
“Sebenarnya ada lagi beberapa kerja yang dia buat tak betul. Gigil tangan tengok. Saya terus cari nombor jiran sebelah minta tengokkan,” tulisnya di ruangan komen TikTok.
– TikTok rosella_rosell
Rata-rata netizen memohon wanita tersebut melakukan laporan kepada pihak atasan kerana dakwa mereka, si tukang jaga itu sudah melakukan penderaan terhadap haiwan dan mengecam tindakan pelaku tersebut.
“Saya pun ambil upah jaga kucing juga, bersihkan tahi mereka dan bagi makan. Saya memang takut kucing tapi tak adalah saya buat macam ni, angkat elok-elok. Kesian kucing dia buat macam tu,” komen lieyaozman.
“Video ni kena sebarkan antara jiran untuk kesedaran. Ini bukan tutup periuk nasi orang, ini langkah berjaga-jaga supaya kucing lain tak dianiaya oleh manusia,” komen alyaeow.
“Akta Kebajikan Haiwan, maksimum denda RM 100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya. Video sudah ada, tampil buat laporan kak,” komen tengkuli_babastylo. – UTUSAN ONLINE