PETALING JAYA: Titisan air mata seorang warga emas di Batu 23, Hulu Langat, Selangor, kerana berterima kasih kepada kumpulan sukarelawan yang membantu membersihkan rumahnya menimbulkan perasaan sebak warganet.
Seorang pemuda memuat naik klip rakaman tersebut di dalam media sosial Twitter, @e_pull yang juga salah seorang sukarelawan dalam membantu mencuci lumpur banjir di rumah warga emas tersebut.
Jelas lelaki tersebut, kejadian tersebut berlaku di Hulu Langat semasa dia menjalankan misi membantu mangsa banjir di situ.
Katanya, ketika kumpulan sukarelawan sudah siap mengemas, warga emas tersebut menghantar mereka pulang dengan tangisan.
“Hari ini aku turun Hulu Langat Batu 19 untuk tolong apa yang mampu. Rumah mak cik ini kami bersihkan sampai mak cik ini tak dapat tahan sedih kami tinggalkan. Maaf cik, kami tak cukup masa untuk kemas semuanya.
“Untuk penjelasan, aku dan pasukan memang tak ada rancangan nak singgah rumah mak cik ini. Kami kebetulan lalu lorong ni, terus tanya ada apa nak tolong tak, mak cik ni cakap minta tolong bersihkan rumah dia. Jadi, kami terus kemaskan. Kami tak ada alamat dia. Difahamkan ni dekat batu 23,” ciapnya di laman Twitter.
– TWITTER e_pull
Rata-rata netizen turut meluahkan perasaan sebak melihat tangisan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada setiap sukarelawan serta memohon memberi maklumat warga emas itu bagi memudahkan mereka menyalurkan bantuan lain.
“Terima kasih abang dan pasukan dan semua sukarelawan. Walaupun jem (sesak) nak masuk (Hulu) Langat, masih semangat. Didoakan semoga ada sukarelawan yang meneruskan perjuangan untuk bantu mak cik ini dan semua mangsa. Sambil itu boleh beri sokongan emosi kepada mereka,” ciap kcwani1.
“Mak cik ni tahu dia tak larat pastu (selepas itu) datang korang membantu. Berterima kasih tak terkata. Apa pun terima kasih bang membantu mereka,” ciap fatnfood.
“Waktu aku pergi bersihkan rumah dekat Kampung Baru Hicom tu, berulang kali mak cik tu cakap terima kasih siap menangis lagi. Tak ke sebak aku tengok. Lepas kerja dah siap dan tengok rumah tu dah kemas, rasa puas dia tu tak boleh nak bayangkanlah,” ciap aybiskndr. – UTUSAN ONLINE