PETALING JAYA: Kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan blok penginapan penuntut lelaki sebuah universiti dekat sini, petang semalam yang memaksa penghuninya dipindahkan ke blok lain bagi tujuan keselamatan.
Difahamkan, lebih 100 penghuni blok berkenaan ditempatkan di blok lain sehingga kerja-kerja baik pulih selesai dan kawasan itu disahkan selamat untuk diduduki.
Berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial, terdapat aliran air yang keluar melalui tanah runtuh berkenaan.
Pengurusan universiti tersebut dikatakan sudah menghubungi pihak-pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pasukan bomba untuk mengenal pasti punca kejadian serta melakukan pemeriksaan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. – UTUSAN ONLINE