PETALING JAYA: Seramai 128 penuntut lelaki di kolej kediaman Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Jalan Gombak dipindahkan susulan tanah runtuh berhampiran bangunan berkenaan, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, pemantauan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi berkenaan.
Ketua Pusat Gerakan JBPM Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, hasil maklumat penuntut, kejadian tanah runtuh itu berlaku 6.45 petang ketika hujan lebat.
KEJADIAN tanah runtuh di UIA. – MEDIA SOSIAL
Kata beliau, susulan itu, UIA mengarahkan semua penghuni membabitkan 128 penuntut lelaki mengosongkan bangunan berkenaan.
“Selepas pemantauan dibuat, tiada kesan rekahan dikesan pada dinding atau lantai bangunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, ada juga berlaku mendapan pada sebuah jalan di universiti itu dengan anggaran keluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.
“Pihak pengurusan UIA turut bertindak menutup kawasan terbabit dengan meletakkan kon dan sawar-sawar.
“Malah, pihak terbabit turut menghubungi konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut,” jelasnya.