SHAH ALAM: Paras air yang masih tinggi akibat limpahan air Sungai Damansara di Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala Subang Jaya berdekatan Management and Science University (MSU) di sini, menyebabkan ratusan orang ramai bermalam di situ.
Tinjauan Utusan Malaysia di lebuh raya terbabit kira-kira pukul 2 pagi hingga 5 pagi mendapati, ratusan orang ramai mengambil keputusan tidur di dalam kenderaan masing-masing kerana tidak mampu lagi berjaga untuk melepasi jalan itu.
Apa yang menyedihkan apabila terdengar teriakan anak kecil yang menangis, berkemungkinan kerana duduk terlalu lama di dalam kenderaan.
PENGGUNA Lebuhraya Persekutuan berdekatan MSU, Shah Alam, Selangor, terperangkap akibat air yang masih tinggi ketika air Sungai Damansara di lebuh raya itu. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Beberapa anggota trafik dilihat mengawal lalu lintas lebuh raya itu, dengan membenarkan pengguna jalan raya membuat pusingan U ke arah Shah Alam menghala Klang semula berdekatan stesen minyak Petron.
Salah seorang pengguna jalan raya, Farid Razali, 35, berkata, dia telah tersangkut di lebuh raya berkenaan sejak pukul 5 petang semalam, setelah menghadiri majlis perkahwinan di Seksyen 14, di sini.
“Saya telah melalui beberapa jalan untuk pulang ke rumah di Petaling Jaya, tetapi semua jalan yang dilalui sudah dipenuhi air.
“Jadi, saya nak cuba nasib untuk pulang ke rumah lalu jalan ini, namun anggota polis tak benarkan kerana air sudah naik tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, awal pagi tadi.
Sementara itu, seorang pemandu lori, Siew Chee San, 45, berkata, dia bersama seorang rakannya telah tersangkut di lebuh raya itu sejak pukul 7 malam semalam.
Menurutnya, dia terpaksa melalui jalan berkenaan bagi menghantar barang elektrik milik syarikatnya di Bukit Jalil.
“Sekarang tak boleh buat apa-apa sebab polis tak benarkan pengguna jalan raya untuk ke arah Subang Jaya.
“Terpaksa saya tunggu sehingga air sungai surut kerana jalan lain ke Bukit Jalil dari Shah Alam semuanya sesak,” jelasnya dengan penuh harap.