PETALING JAYA: ‘Rakyat jaga rakyat’ adalah slogan yang tular di laman media sosial selepas pelbagai klip rakaman dan gambar masyarakat membantu mangsa-mangsa banjir tanpa mengira bangsa serta agama.
Menerusi sebuah klip rakaman yang disiarkan oleh seorang pengguna aplikasi TikTok, khairulnizam1881 memaparkan sekumpulan golongan belia membantu dua warga emas turun daripada bumbung rumah ibadah selepas terperangkap di dalam bencana banjir.
RAKAMAN video dari TikTok oleh khairulnizam1881 memaparkan sekumpulan golongan belia membantu dua warga emas turun daripada bumbung selepas terperangkap di dalam bencana banjir.
Jelas pemuda tersebut, warga emas tersebut dipercayai terkandas di atas sebuah surau selama satu hari di Taman Sri Nading, Hulu Langat kerana menghidap penyakit lumpuh.
“Kami tengah ronda-ronda mencari rumah yang kami nak membantu, tiba-tiba ada orang menjerit meminta tolong untuk turunkan dua orang lumpuh. Satu hari di atas bumbung,” tulisnya di ruangan komen TikTok.
Rata-rata netizen meluahkan perasaan gembira selepas melihat rakaman tersebut dan mendoakan kesejahteraan pemuda-pemuda tersebut supaya kekal menabur bakti kepada masyarakat.
“Allah sahaja yang mampu membalas segala kebaikan dan keikhlasan kalian, mudah-mudahan kita bertemu di syurga,” komen evy_ahfeiy.
“Bagus anak muda, moga urusan korang di hari tua juga dipermudahkan,” komen noajanaa.
“Sebak hati aku tengok. Semoga semua yang dilanda banjir dalam keadaan selamat dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih sebab sentiasa membantu,” komen nadiameh.
“Saya tak dapat bayangkan kalau itu datuk saya. Terima kasih abang-abang semua. Semoga korang semua dipermudahkan segala urusan dunia akhirat,” komen ummu.sobirin.