[VIDEO] Penolong Pegawai Kesihatan berlari laju selepas didakwa terima rasuah - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penolong Pegawai Kesihatan berlari laju selepas didakwa terima rasuah

N.Ganesh didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas atas pertuduhan menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,400, empat tahun lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan berlari laju keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa atas pertuduhan menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,400 daripada pemilik restoran, empat tahun lalu.

Tertuduh, N.Ganesh, 33, yang memakai baju sejuk berhud warna hitam sebelum itu menunggu dalam kamar mahkamah lebih kurang satu jam selepas prosiding kesnya selesai.

Dia kemudian meluru keluar dan menaiki sebuah kereta bagi mengelak gambarnya dirakam jurugambar dan pihak media.

Dalam prosiding kes, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

N.Ganesh berlari keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban selepas didakwa atas pertuduhan menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,400, empat tahun lalu. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Gred U29 di Unit Inspektorat dan Pendakwaan, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah setuju menerima tanpa balasan, wang tunai RM1,400 daripada seorang pemilik sebuah restoran.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 11 pagi, Disember 2017 berhampiran Restoran Kassim Dua Puluh Dua Puluh di sini.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM sebulan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam daripada Tetuan Morthi, Segaran & Co. memohon anak guamnya dikenakan jaminan tidak melebihi RM5,000 atas alasan dia merupakan penjawat awam yang telah bertugas selama 11 tahun selain tiada rekod kesalahan lampau.

“Orang Kena Tuduh (OKT) merupakan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta mempunyai enam orang tanggungan.

“Penjamin merupakan kakak kandung OKT yang tidak bergaji iaitu suri rumah, bagi menanggung jumlah jaminan, dia perlu meminjam daripada suami dan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban setiap bulan.

Kes akan disebut semula 17 Januari tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya