PETALING JAYA: Detik-detik cemas berdepan musibah banjir diharungi sebuah keluarga tular dalam laman sosial selepas salah seorang mangsa memuat naik rakaman video pengalaman ngeri mereka itu di Facebook.
Video dikongsi ‘Hayaatie Yatt’ memaparkan adik beradiknya dan keluarga berkumpul di rumah ibu mereka di Hulu Langat, sehari sebelum kejadian, Jumaat lepas.
Katanya, kejadian tersebut mengakibatkan rumah ibu mereka itu musnah dilanda arus deras air banjir.
“Sehari sebelum kejadian, hari Jumaat kami berkumpul adik beradik buat sedikit makan-makan. Tak sangka itu rupanya kali terakhir dan kenangan terakhir kami di rumah.
“BBQ (barbeku) di tangga, waktu ni hujan renyai-renyai berterusan. Keesokannya hari Sabtu air mula naik dalam pukul 7 malam. Dari rumah mak boleh tengok air sungai laju mula nak melimpah. Air waktu ini setakat tangga pertama rumah mak. Di sebelah ini rumah kakak.
“Dalam pukul 9 macam itu air semakin tinggi dan deras. Air semakin naik di tangga rumah mak. Dan akhirnya air masuk sampai ke dalam lantai rumah mak. Sudah panik masa ini sebab sebelum ini kalau banjir air tak naik sampai atas rumah mak,” katanya.
Menurut Hayaatie Yatt, semasa kejadian terdapat lima kanak-kanak kecil, dua anaknya dan tiga dewasa.
“Kami yang dewasa cari jalan macam mana nak bawa anak-anak keluar dari rumah mak sebab tak yakin rumah mak boleh bertahan.
“Bunyi air mengalir bawah rumah sangat kuat dan bunyi kayu-kayu dan seumpamanya hentam dinding dan tiang rumah mak. Akhirnya kakak kata kita buat laluan pergi ke bilik yang sedang diubahsuai. Suami sekali rentap sahaja, dapat tarik plywood (papan lapis) bahagian dapur rumah mak,” katanya.
Menurut Hayaatie, mereka dapat keluar dari rumah ibunya dan berlindung di bilik kecil sementara waktu sebelum mengambil keputusan memanjat bumbung untuk naik ke tingkat atas rumah kakaknya.
– VIDEO yang dikongsi ‘Hayaatie Yatt’ di dalam laman sosial FB memaparkan detik-detik cemas diharungi keluarganya akibat kejadian banjir, baru-baru ini.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet berkongsi perasaan sedih atas kejadian yang berlaku kepada Hayaatie dan keluarga.
“Ini baru satu cerita dari satu keluarga. Bayangkan keluarga lain, bayangkan takut untuk keselamatan diri, keselamatan isteri, mak dan anak-anak. Hanya boleh serah kepada Allah sahaja,” kata @mohdzombagatess.
“Pengajaran buat diri sendiri bila tengok video ini adalah bila air sudah sampai buku lali dan hujan tak berhenti bersiap beredar jauh dari tempat itu untuk keselamatan diri dan keluarga,” kata @bayaseh134. – UTUSAN ONLINE