SHAH ALAM: Tidak tegar melihat begitu banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat banjir, Zainudin Lot, 45, mengambil inisiatif mengumpulkan batu dan kayu dan diletakkan dekat pembahagi jalan bagi membolehkan kenderaan berpatah balik.
Tindakan itu dilakukannya bersama bantuan penduduk lain dari Taman Pinggiran USJ di Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 22, iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi yang ditenggelami air berdekatan kilang F&N dan simpang masuk ke Kampung Baru Hicom di sini.
Menerusi tindakan itu, ratusan kenderaan yang terkandas dan terperangkap ketika menuju ke Seksyen 26 dari Seksyen 20 akhirnya boleh berpatah balik dengan memandu naik ke atas pembahagi jalan berkenaan.
KENDERAAN melakukan pusingan-U di Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 22, Shah Alam. – UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
“Malam semalam, saya datang ke jalan ini untuk mengambil ibu mentua, Norsham Hashim, 63, yang terkandas di laluan berkenaan untuk pulang ke rumah dari Seksyen 24. Tetapi untuk ke jambatan ini pun terpaksa berjalan kaki kerana paras air naik agak tinggi.
“Apabila naik ke jambatan ini, saya terkejut apabila melihat ratusan kenderaan yang tersangkut di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia mengambil beberapa biji batu bata dan kayu di sekitar kawasan perumahannya dan meletakkan di tepi pembahagi jalan, bagi membolehkan orang ramai membuat pusingan-U.
Hasil usaha bersama kawannya, kata Zainudin, ratusan kenderaan berjaya keluar daripada kesesakan itu mulai pukul 11 pagi tadi.
“Alhamdulillah, sudah tak banyak kenderaan yang tersadai di sini kecuali kenderaan rosak dan mereka yang tidak dapat pulang ke rumah mereka.
“Ada beberapa lori besar yang berjaya melalui ‘pusingan-U’ ini namun, kalau lori yang bawa kontena besar memang tak lepas nak naik bata dan kayu ini,” jelas perundingcara itu.