KUALA PILAH: Seekor beruang matahari ditemukan mati selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Ulu Bendul, malam semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi mengesahkan penemuan haiwan liar tersebut dan memaklumkan ia adalah seekor beruang jantan dewasa seberat 85 kilogram.
“Perhilitan Daerah Jempol ke lokasi kejadian dan mendapati seekor beruang telah mati berada di dalam longkang. Beruang tersebut dibawa ke pejabat untuk tindakan lanjut. Beruang itu mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka. Ia adalah beruang matahari jantan dewasa dengan anggaran berat 85 kilogram berusia sekitar 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
– VIDEO tular seekor beruang matahari ditemukan mati di dalam longkang i Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul, Kuala Pilah, malam semalam dipercayai dilanggar sebuah kereta. – MEDIA SOSIAL
Sementara itu, video dan gambar beruang yang mati tersebut turut tular dalam media sosial. – UTUSAN ONLINE