PETALING JAYA: Tindakan tiga kanak-kanak mengeluarkan separuh badan mereka melalui tingkap kereta sedang bergerak sambil melambai-lambai di atas lebuh raya mengundang resah netizen kerana khuatir jika mereka terjatuh.
Kejadian itu dimuat naik seorang pengguna laman media sosial Facebook, Syafiq Yazid di dalam kumpulan DashCam Owners Malaysia.
Individu tersebut mengkritik perbuatan pemandu kenderaan tersebut selaku individu lebih dewasa dan matang yang membiarkan tiga kanak-kanak berkenaan melakukan aksi berbahaya.
“Ini sangat bahaya abang. Nyawa tak ada jual dekat pusat beli-belah,” tulisnya dalam hantaran Facebook.
– FB SYAFIQ YAZID
Rata-rata netizen turut sependapat dengan pemuda tersebut dan berharap ada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa kerana tindakan membiarkan kanak-kanak melakukan aksi berbahaya itu bukan sahaja bakal mendatangkan kesan buruk kepada pelaku tetapi pengguna lain turut terkena tempias.
“Sebab itu ada sesetengah model kereta buat cermin belakang mereka tak bagi turun sampai habis. Ini la tujuan dia. Bukan kilang suka-suka tak bagi cermin belakang turun habis, ia mesti ada tujuan,” komen Chen Chris.
“Bahaya betul tu, laju pulak. Ini kalau terlepas tangan budak-budak tu dari tingkap. Menangis dan menyesal pun tak guna dah,” komen Madie Abdullah. – UTUSAN ONLINE