Varian Omicron; Penggiat pelancongan bimbang - Utusan Malaysia

Varian Omicron; Penggiat pelancongan bimbang

K RAJ KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggiat pelancongan di negeri ini memandangkan industri perhotelan disifatkan baharu sahaja mahu bernafas selepas rentas negeri dibenarkan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pihaknya berharap kerajaan akan segera bertindak dengan mengetatkan kawalan dan saringan di pintu masuk negara bagi mengelakkan penularan varian baharu itu dalam kalangan pengembara serta rakyat negara ini.

“Bimbang memang ada tapi kita sudah ada pengalaman sebelum-sebelum ini, namun kita tidak boleh ambil mudah mengenai varian baharu kerana kita tidak tahu bagaimana seriusnya varian Omicron ini.

“Jika semua pihak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kerajaan kawal dengan ketat saringan di sempadan, penularan varian ini akan dapat dikawal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Varian Omicron yang dikatakan lebih ganas berbanding varian lain kini dikesan di negara ini melalui seorang pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun.

Menurut Raj Kumar, penggiat industri pelancongan juga berharap kerajaan tidak akan menutup kesemua sektor ekonomi seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini susulan pengesanan varian Omicron tersebut.

“Sektor ekonomi tidak boleh lagi berdepan dengan langkah penutupan seperti sebelum-sebelum ini kerana mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi masyarakat.

“Kita akui perlu ada sektor-sektor ekonomi yang perlu ditutup bagi memastikan kesihatan awam sekiranya didapati varian ini merebak, namun kami harap bukan semua sektor terus ditutup,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MAH Pulau Pinang belum menerima laporan mengenai mana-mana hotel atau pekerja hotel yang dikesan positif Covid-19 selepas rentas negeri dibenarkan.

“Tiada hotel ditutup setakat ini dan kita tidak terima laporan mengenai pekerja hotel yang dijangkiti Covid-19.

“Pihak hotel sentiasa mengamalkan SOP yang ketat termasuk dalam soal kebajikan pekerja yang bertugas ketika ini, mana-mana pekerja yang kurang sihat dinasihat menjalani saringan kendiri dengan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya