PUTRAJAYA: Satu lagi negara iaitu Malawi tersenarai dalam sekatan perjalanan sama ada penerbangan terus atau transit ke negara ini, susulan laporan penemuan varian baharu Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini menjadikan sehingga hari ini lapan negara dalam senarai sekatan perjalanan dengan tujuh yang lain ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
“Kementerian Kesihatan pada 26 November lalu telah menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe berhubung sekatan ini. Hari ini ada pertambahan satu lagi negara iaitu Malawi,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan terkini varian baharu Omicron di sini hari ini.
Beliau berkata, sekatan perjalanan itu untuk pengembara bukan warga Malaysia dari negara yang melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan atau pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan.
“Tiada sekatan kemasukan bagi warga Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang pemegang pas penduduk tetap (PR), visa pasangan, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pas residen. Mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.
“Selain itu, mereka perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 (RT PCR) 72 jam sebelum berlepas, semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dan pada hari ke-10 tempoh kuarantin wajib.
“Penilaian risiko pada hari ke-14 tempoh kuarantin wajib dan akan dilanjutkan tempoh kuarantin sekiranya bergejala,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, warga Malaysia yang merancang melawat ke negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti disenaraikan, adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.
Katanya, pada masa sama, penangguhan perancangan untuk mewujudkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti yang disenaraikan.
“Penangguhan ini adalah sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai penularan varian Omicron di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, langkah yang diambil tersebut termasuk mengetatkan sempadan negara adalah berbentuk sementara sehinggalah Kementerian Kesihatan mendapat maklumat lebih lanjut berhubung varian baharu berkenaan.
“Jika varian ini tidak mengancam kesihatan awam, kita akan melonggarkan balik sekatan ini. Penting untuk saya tegaskan ialah langkah ini berbentuk sementara. Sama ada ia boleh diketatkan atau dilonggarkan berdasarkan maklumat diterima dan penilaian risiko oleh kementerian. Kita tidak tahu maklumat banyak berkenaan varian Omicron ini dan kita juga perlu dinamik dalam soal mengenakan sekatan,” katanya.