Vale prihatin, bantu komuniti Manjung - Utusan Malaysia

Vale prihatin, bantu komuniti Manjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Mula ‘hadir’ di Manjung pada tahun 2011, Vale Malaysia yang mengendalikan operasi hab pengedaran bijih besi di Teluk Rubiah di sini kekal sebagai pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di Perak.

Siap sepenuhnya pada tahun 2012 dengan kos AS$1.4 bilion, Vale menyediakan 1,000 peluang pekerjaan dengan 90 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada anak tempatan di  Terminal Maritim Teluk Rubiah TRMT. 

Daripada jumlah itu, 60 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada penduduk Daerah Manjung.

Dengan kapasiti pengendian 30 juta tan bijih besi setahun, TRMT di sini menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Vale.

Ketika Vale meneruskan transformasinya untuk menjadi salah satu syarikat perlombongan paling selamat dan boleh dipercayai,  Malaysia kekal sebagai rakan kongsi penting dalam strategi global syarikat itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo berkata, syarikat itu juga memastikan penduduk di negeri di sini mendapat manfaat dengan kehadiran mereka menerusi khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, malah sejak tahun 2011, Vale telah melabur hampir RM60 juta dalam pembangunan komuniti inklusif di Daerah Manjung.

Beliau berkata, sejak pandemik Covid-19, Vale menyediakan bantuan berjumlah RM2 juta kepada komuniti setempat di sini.

“Vale mengadakan kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Utara) untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada industri maritim di Manjung kerana kepentingan industri itu kepada daya maju ekonomi daerah itu.

“Vale membelanjakan  RM430,000 atas inisiatif itu dan 10 peratus daripada penerima vaksin Covid-19 dalam program itu terdiri daripada para pekerja Vale,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, syarikat itu akan terus meningkatkan cadangan sebagai sebuah syarikat yang mampan, sejajar dengan matlamat Vale untuk menjadi syarikat pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

“Vale berada di sini untuk kekal dan ia komited untuk meneruskan kehadirannya yang mampan dan bermatlamat di Malaysia, sebagai kuasa positif untuk kemajuan dan pertumbuhan negara,” katanya.

Mengenai penjagaan alam sekitar, Ribeiro de Araujo berkata, TRMT di sini telah dikhaskan untuk penggunaan teknologi perkapalan hijau.

Menurutnya, projek teknologi perkapalan hijau menggunakan teknologi terkini yang  dikuasakan oleh Internet of Things (IoT), robotik dan tenaga bukan konvensional.

“Ini bertujuan memberikan kecekapan yang lebih besar bagi penghantaran bijih besi Vale kepada pelanggannya di Asia.

“Teknologi layar berputar dalam VLOC, misalnya, akan menghasilkan penjimatan bahan api sehingga lapan peratus dan pengurangan tahunan sehingga 3,500 tan bersamaan CO2 setiap kapal,” katanya.

Menurutnya, Vale juga telah mengenal pasti tenaga suria untuk memenuhi sebahagian keperluan tenaganya di Teluk Rubiah. 

Beliau berkata, projek tenaga solar yang dicadangkan Vale dijangka menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk menampung 70 peratus daripada keperluan tenaga di pejabat pentadbirannya di Teluk Rubiah. 

“Projek ini adalah perkongsian dengan pemain tempatan, selaras dengan model kerjasama dan penyegerakan Vale dengan syarikat Malaysia yang inovatif untuk membantu dalam memajukan agenda kemampanan syarikat di Malaysia,” kata Rodrigo.

Selain itu, operasi Vale di sini juga menyokong projek pemuliharaan hutan dan kumpulan itu telah memulihara 60 peratus tanah yang dimilikinya di Manjung.

“Hutan seluas 715 ekar di Teluk Rubiah sedang dipelihara sebagai Pusat Eko Vale, sebuah pusat pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar yang juga akan menjadi salah satu tarikan ekopelancongan Perak,” kata Ribeiro de Araujo.

Sementara itu, Ribeiro de Araujo berkata, daripada 484 hektar kawasan operasi syarikat itu, sebanyak 289 hektar dikekalkan seperti sedia ada sebagai usaha mengekalkan keunikan ekosistem yang terdapat di Teluk Rubiah.

Ujarnya, syarikat itu juga turut menggunakan teknologi untuk memastikan pelaksanaan sistem air tertutup untuk menghalang sebarang efluen daripada dilepaskan ke laut. 

“Beliau juga memberitahu perancangan Vale Malaysia menggunakan tenaga diperbaharui untuk meningkatkan kecekapan karbon bagi menyokong sasaran syarikat itu menjadi syarikat perlombongan sifar pelepasan karbon pada 2050. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN