PASIR PUTEH: Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, Johor menerima dana RM250,000 sumbangan Fatman Group Sdn. Bhd. (Fatman) bagi melakukan penyelidikan terperinci berkaitan ekstrak halia hitam dan peria katak sebagai makanan kesihatan.
Provos UTHM Kampus Pagoh, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Kamarulzaki Mustafa berkata, kerjasama pelajar bersama penyelidik Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) itu turut melibatkan penerbitan kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, projek penyelidikan tersebut difokuskan kepada pokok halia hitam atau nama botaninya, Kaempferi parviflora dan peria katak atau Momordica charantia yang merupakan herba warisan negara namun masih kekurangan data kajian.
“Halia hitam digunakan secara tradisional sebagai ubat rangsangan lelaki, selain menjadi penambah tenaga serta merawat penyakit kronik tanpa kesan sampingan manakala peria katak dikatakan dapat mengurangkan kadar gula dalam darah dalam kalangan pesakit diabetes.
“Namun tiada kajian mendalam berkaitan fungsi ekstraknya itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dana sumbangan dan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Fatman Group Sdn. Bhd. dengan UTHM di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Bersama Fatman Group Sdn. Bhd., Azman Mohamad dan Ahmad Fathi Muhamad Hanafi, Dekan FAST, Prof. Dr. Hashim Saim dan ketua projek penyelidikan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar. – UTUSAN ONLINE