SEREMBAN: Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberikan tempoh bertenang dan kelonggaran kepada semua fakulti serta pusat pengajiannya daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula semalam sehingga 24 Disember ini.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, penangguhan itu diambil bagi memberi peluang kakitangan dan pelajar yang terjejas akibat bencana banjir besar melanda sebahagian besar negeri ketika ini.
“Berikutan keadaan semasa yang tidak kondusif untuk pelajar meneruskan aktiviti PdP, pengurusan USIM mengambil inisiatif memberikan tempoh bertenang dan kelonggaran untuk setiap fakulti mengendalikan aktiviti PdP bermula semalam hingga 24 Disember ini. Keputusan untuk melaksanakan kaedah PdP diserahkan kepada fakulti masing-masing kerana setiap program pengajian mempunyai keperluan program yang berbeza.
“Pihak fakulti boleh menangguhkan kuliah atau dibuat secara tidak segerak (asynchronous) dengan bahan mengajar dimuat naik dalam Sistem GOALS tertakluk kepada keperluan program pengajian tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua pelajar yang terkesan dengan bencana banjir boleh menghubungi fakulti dan pusat masing-masing untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti PdP.
“Pihak universiti juga memastikan kebajikan pelajar termasuk kesihatan fizikal dan mental mereka berada dalam tahap baik. Fakulti dan pusat akan memantau secara berterusan dengan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu berbangkit,” katanya.
USIM turut membuka Bilik Operasi Bantuan Banjir menyelaras bantuan berkaitan banjir dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 012-667 7628 60 (Nur Ekmal Buhary) atau 011-3636 8191 (Hafez Fikri Adimat).