SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini mengambil langkah mengaktifkan bilik gerakan bencana banjir bagi memberi bantuan kepada mangsa terjejas termasuk kakitangan dan pelajar mereka terutama di sekitar kawasan Labu Lanjut, Salak Tinggi dan Sepang di Selangor.
Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali berkata, bantuan tersebut mula digerakkan sejak semalam bagi memastikan bantuan dapat segera diberikan kepada mereka yang terlibat.
“Tindakan segera yang telah diambil dengan mula mengumpul maklumat kakitangan dan pelajar yang terjejas dengan bencana banjir secara dalam talian bagi tujuan koordinasi bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bantuan awal mula digerakkan sejak semalam bermula dengan agihan makanan keperluan kepada mereka yang terkandas di kediaman masing-masing.
“Bagi kakitangan USIM yang kediaman mereka terjejas terus dengan banjir, pihak universiti telah menyediakan penginapan alternatif di kolej-kolej kediaman berdekatan kampus.
“Badan Kebajikan Kakitangan USIM turut menyalurkan bantuan segera RM200 kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.
Muhammad Haizuan menjelaskan, pusat pengumpulan sehenti sumbangan banjir turut disediakan di Pusat Sukan USIM bagi memudahkan penerimaan barangan sumbangan orang ramai.
“Antara barangan sumbangan yang disasarkan untuk dikumpul antaranya makanan sedia untuk dimakan, kit kebersihan diri, kit keperluan wanita, air mineral, keperluan bayi, selimut dan cadar.
“Pada masa yang sama, USIM turut menyerahkan pinjaman kayak dan alatan bantuan menyelamat kepada wakil penduduk di sebuah taman perumahan di Labu Lanjut bagi membantu hampir 300 keluarga yang masih terkandas semalam,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Wakaf dan Zakat USIM turut mengambil pendekatan menubuhkan Tabung USIM Prihatin bagi mengumpul sumbangan kepada warga USIM yang terkesan dengan banjir melalui portal Jom Infaq.
“Selain bantuan banjir, USIM turut mula menyiapkan pasukan sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajarnya untuk bantuan pasca banjir khususnya operasi pembersihan kediaman.
“Pengurusan universiti amat prihatin dan bersimpati dengan mangsa banjir khususnya kepada kakitangan dan pelajar yang terlibat serta menasihatkan semua pihak untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri,” katanya.