PUTRAJAYA: Usahawan muda tempatan berjaya membuktikan mereka tidak ketandusan kreativiti sebaliknya terus bersemangat menempuh situasi ekonomi tempatan yang semakin mencabar ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengagumi keupayaan usahawan muda tempatan yang mengguna pakai teknologi dan inovasi dalam perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, usahawan tempatan juga membuktikan bahawa mereka sebenarnya boleh, malah sudah mampu untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kemunculan usahawan yang berjaya ini sekali gus mengukuhkan kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan belia sebagai harapan negara.
“Keupayaan mereka menyesuaikan diri dalam teknologi baharu membolehkan mereka lebih inovatif dan kreatif dalam meneroka dan memperkenalkan peluang baharu dalam ekonomi dan industri,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) 2021 di sini, malam ini.
Katanya, usahawan muda juga disaran mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu kerana ia penting bagi menjana pertumbuhan negara serta membuka peluang di peringkat antarabangsa.
Alexander berkata, kerajaan kini sedang menyusun strategi untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda menerusi Dasar Keusahawanan 2030.
Menurutnya, usaha ini diharap dapat menyemai budaya keusahawanan sekali gus memacu sektor ini untuk menyumbang sehingga 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
“Menerusi dasar ini, usahawan akan dibimbing untuk mencipta pekerjaan dan memberi bimbingan kepada mereka yang bekerja dalam industri masing-masing,” katanya.
Pada malam ini, sebanyak 42 kategori anugerah disampaikan kepada usahawan tempatan yang terbabit dalam pelbagai bidang dan sektor ekonomi.